PERBEDAAN ANTARA SYARAH DAN HASYIAH
|PERBEDAAN ANTARA SYARAH DAN HASYIAH|
Secara asas, syarah (الشرح) dan hasyiah (الحاشية) itu mampu saja dibedakan. Ada beberapa kriteria tertentu yang boleh membantu pelajar untuk memisahkan antara keduanya. Walau bagaimanapun, perbedaan antara syarah dan hasyiah itu boleh dikatakan agak tipis, sehingga sebagian pihak menganggap syarah dan hasyiah itu adalah dua perkara yang sama saja.
KRITERIA SYARAH
Syarah ialah penjelasan atau komentar bagi satu-satu matan. Ia berfungsi sebagai tafsil mujmal (menghurai yang umum), tabyin mubham (menerang yang samar), taqyidul mutlaq (membatas yang mutlak), tashihul khoto' (membetulkan yang silap), fakkul Ibarah (memperluas makna ungkapan) dan ta'lilat (menyebut alasan). Hal ini bertujuan, agar matan menjadi lebih jelas dan lebih mudah untuk difahami.
Adakalanya, syarah juga menyebut i'tiradat (sanggahan atau bantahan) kepada matan. Ada juga keadaan ia menjadi penguat kepada matan dengan cara didatangkan dalil, kaedah istinbat dan wajh istidlal. Kadang-kadang, syarah juga menyediakan amsilah (contoh) dan syawahid kepada matan.
Pelajar yang mempelajari syarah, kebiasaannya mereka yang sudah memasuki tahap kedua pengajian selepas melepasi matan. Adapun golongan ulama yang mensyarah sesuatu matan, boleh dikatakan sudah berada pada tahap keilmuan yang sama seperti matin (penulis matan) disebabkan kemampuan mereka mendatangkan i'tiradat tertentu ke atas matan.
Kaedah Penulisan Syarah :
Ada ulama yang menulis syarah dengan cara mencampur secara langsung syarah bersama matan. Cuma, untuk membezakan teks syarah dengan teks matan, matan diletakkan di dalam kurungan. Cara ini digunakan oleh Ibnu Qosim al-Ghozzi dalam kitab Fathul Qarib (syarah kepada matan Abi Syuja).
Ada juga ulama yang menggunakan kaedah mengutip satu ayat atau satu perenggan daripada teks matan, kemudian disyarah. Cara ini digunakan oleh ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (syarah kepada mukhtasar al-Khiroqi).
Adapun cara yang ketiga, sebahagian ulama tidak memetik matan secara lafaz akan tetapi lebih mementingkan huraiannya, sehingga yang ditulis ialah makna matan sahaja. Ini ialah cara Al-Mawardi saat mengarang al-Hawi al-Kabir (syarah mukhtasar al-Muzani).
KRITERIA HASYIAH
Hasyiah kebiasaannya merupakan penjelas kepada syarah, dengan makna lain ia merupakan syarah kepada syarah. Istilah yang sinonim dengan hasyiah ialah ta'liqat, qaul ala, kalam ala, nukat dan taqrir. Hasyiah kebiasaannya diletakkan pada sisi kitab, sesuai dengan maknanya (catatan tepi). Adakalanya hasyiah juga diletakkan di bahagian bawah kitab.
Ada sebahagian mutakhirin yang memperluas makna hasyiah kepada makna syarah. Maka, tidak hairan jika ada kitab hasyiah yang isinya seperti syarah ataupun mirip dengan syarah. Pada era sekarang, hasyiah juga dikenali sebagai hamisy (nota kaki).
Ciri utama sesuatu hasyiah adalah, ia tidak menjelaskan keseluruhan ungkapan dalam kitab. Penulis hasyiah hanya menghuraikan perkara-perkara yang dianggap perlu sahaja. Inilah titik perbezaan yang memisahkan antara hasyiah dengan syarah.
Kesan daripada perbezaan ini, syarah sangat menitikberatkan hubungkait antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Hal ini jelas berbeza dengan hasyiah, yang mana mungkin berlaku situasi di mana satu bahagian hasyiah dengan bahagian hasyiah yang lain itu terputus dan tidak berkait sama sekali.
Rujukan : Penulisan Ust Muafa, Pondok Pesantren Irtaqi
Komentar
Posting Komentar